Pages

Saturday, 11 August 2012

Kisah Ulama Tok Bendang Daya Bertemu Lailatul Qadar

Pada 10 malam terakhir Ramadhan ramai orang yang berjaga malam, tertunggu-tunggu untuk mendapatkan pahala ibadat, lebih baik daripada 1,000 bulan, seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu Lailatul Qadar. Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan berjaya bertemu malam yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan itu.

Di antara ulama yang bertemu dengan Lailatul Qadar itu ialah Tok Bendang Daya dan anak beliau Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya ke-II).

Riwayat Tok Bendang Daya bertemu Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya hampir semua rakyat Patani pernah mendengarnya. Ceritanya tersebar sejak dulu hingga sekarang ini. Walau bagaimana pun semuanya adalah cerita lisan, tidak terdapat satu pun dalam bentuk tulisan. Yang berupa catatan bertulis yang saya mulakan, tahun 1970. Saya dengar, saya tanya dan saya catat dari Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Yang saya ketahui bahawa Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi ketika catatan saya lakukan adalah merupakan satu-satunya cicit Tok Bendang Daya yang tertua, yang teralim dan yang paling mengetahui hampir semua aspek sejarah keluarga yang dibicarakan ini.

Selama sebulan, dalam bulan Ramadan 1390 H/November 1970 saya bersama beliau telah menziarah Makam Tok Bendang Daya. Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi bercerita sebagai berikut, “Pada suatu malam, dinihari, bulan Ramadan, sewaktu Tok Bendang Daya akan mengambil air wuduk untuk melakukan solat tahajud tiba-tiba perasaannya berubah, beliau tidak berada di alam nyata. Dalam perasaannya, dilihatnya semua pepohon rebah menghadap ke perigi Bendang Daya. Air perigi tiba-tiba membeku. Sedarlah beliau bahawa peristiwa tersebut kemungkinan yang dinamakan Lailatul Qadar.”

Tok Bendang Daya kemudian berdoa mohon kepada Allah pada malam yang berkat itu agar empat anak lelakinya menjadi ulama dan setiap salah seorang daripada empat orang anaknya itu ada yang jadi ulama yang bersambung terus hingga ke hari kiamat. Keempat-empat anak beliau itu ialah Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Disingkatkan namanya menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani atau dikenal dengan sebutan Tuan Guru Wan Din al-Fathani. Anak Tok Bendang Daya yang kedua bernama Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, beliau inilah yang digelar dengan Tok Bendang Daya yang kedua. Anak Tok Bendang Daya yang ketiga bernama Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menyebarkan Islam di Bangkok. Dan anak Tok Bendang Daya yang keempat ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani yang lebih dikenal dengan sebutan Tok Cik Wan Daud al-Fathani, beliau mengajar di Mekah, di rumahnya dan di Masjidil Haram, Mekah.

Kisah anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II), juga bertemu Lailatul Qadar di tempat yang sama, saya tinggalkan saja, namun perlu saya nyatakan bahawa apa yang dialami oleh kedua-duanya adalah berbeza. Saya belum mencatat secara terperinci berapa orang ulama dunia Melayu yang diriwayatkan pernah bertemu Lailatul Qadar, tetapi yang pasti bilangannya ramai. Antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Di dalam beberapa kitab diriwayatkan ramai ulama Islam yang terkenal seperti Imam Syafie, Abi Yazid al-Bistami dan lain-lain, juga pernah bertemu Lailatul Qadar dengan pengalaman yang berbeza-beza pula.



sumber : ulama.blogspot.com

No comments: